Ringkasan Suara Kekasih

Mengisahkan percintaan di antara Ayu (Fauziah Ahmad Daud) dan Taufiq (Azmil Mustapha). Taufiq merupakan seorang pengurus syarikat insuran manakala Ayu pula seorang penyanyi di sebuah kelab malam. Mereka berdua berlatarbelakang keluarga yang berbeza. Taufiq berasal dari keluarga orang berada manakala Ayu berasal dari keluarga orang sederhana. Taufiq telah memaklumkan kepada ibunya yang dia sedang menjalinkan hubungan cinta dan akan berkahwin dengan Ayu, tetapi ibunya tidak merestui perhubungan tersebut. Tidak seperti ibu kepada Ayu (lakonan Rosnani Jamil) yang sentiasa merestui perhubungan cinta tersebut.

Pada suatu hari, Ayu ada terbaca sepucuk surat yang ditulis sendiri oleh ibu Taufiq. Detik itulah, Ayu mulai berasa serba salah untuk meneruskan percintaan tersebut sedangkan Taufiq begitu berharap untuk berkahwin dengan Ayu. Ayu menjelaskan kepada Taufiq, kenapa dia sanggup berbohong mengenai latar belakang dirinya terhadapnya dan mengharapkan perpisahan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi. Rupa-rupanya, perhubungan yang tidak direstui oleh orang tua ini pernah dialami oleh ibu Ayu sendiri sewaktu Ayu berusia 2 bulan di dalam kandungan. Disangkakan bapanya telah meninggal dunia tetapi sebaliknya berlaku. Bapanya seorang anak tunggal tidak dapat mempertahankan rumahtangganya dan memilih keluarga untuk terus berbakti agar tidak menderhaka, maka disitulah detik terakhir mereka bertemu. 23 tahun sudah berlalu, ini membuatkan Ayu terpaksa menarik diri dari meneruskan perhubungan cinta tersebut walaupun dia sedar bahawa Taufiq adalah cinta pertamanya.

Taufiq juga serba salah tetapi dia tidak sanggup untuk menderhaka terhadap ibunya. Dia juga sering mendapat nasihat dari sahabatnya, Amir (Ebby Ali) agar hidupnya tidak terlalu rungsing. Masa depan Taufiq juga telah ditentukan oleh ibunya dimana dia harus berkahwin dengan pilihan ibunya (lakonan Connie Ahmad). Maka berakhirlah perhubungan antara Taufiq dan Ayu. Namun, perkahwinan mereka tidak menemui kebahgiaan, Taufiq tetap mencari Ayu walaupun Ayu sentiasa menolak perlawaan cinta tersebut. Ayu menegaskan kepada Taufiq, kisah silam perlu di buang jauh-jauh dan jangan sekali-kali meruntuhkan rumahtangga yang telah dibina hanya kerana dirinya sahaja. Di suatu hari, mereka bersua untuk kali yang terakhir di villa Taufiq (tempat kenangan silam mereka), dimana mereka telah berjanji untuk sehari semalam sahaja mereka menjadi pasangan kekasih. Keesokkan harinya selepas ayam berkokok (secara simbolik), masing-masing akan membuat haluan sendiri dan berpisah buat selama-lamanya.